Peguasaan
terhadap al-Turath al-Islami
Dalam
menghadapi cabaran bidang ilmu semasa, suatu perkara yang sangat penting adalah
tentang pemeliharaan dan penguasaan terhadap al-Turath al-Islami. Kita
sering melihat fenomena di mana ramai para ilmuwan yang mendapat pengajian daripada
institusi pengajian Barat sering membawa pemikiran-pemikiran yang rosak dan
bersifat melawan kefahaman muktabar ajaran Islam yang asas.
Ini
kerana, mereka menguasai bidang pengetahuan terutamanya sainsn moden tanpa
memahami ajaran Islam dengan baik. Lalu, nilai-nilai sekular dalam kebanyakan
ilmu-ilmu moden yang disemai oleh para ilmuwan dan falsafah Barat mula memberi
kesan kepada pemikiran mereka. Bertolak daripada inilah, atas nama ilmu
pengetahuan, golongan ini menyebarkan pemikiran-pemikiran yang bertentangan
dengan prinsip murni ajaran Islam yang muktabar.
Antara
bentuk kepincangan pemikiran yang cuba diketengahkan oleh golongan ilmuwan
sekular ini adalah:
·
Sekularisme: Iaitu, pemisahan antara peranan keagamaan
daripada perkara-perkara keduniaan.
·
Liberalisme: Iaitu, menjadikan akal sebagai suatu ukuran
yang bebas dalam menilai sesuatu tanpa campur tangan penilaian keagamaan.
·
Penafsiran Hermeneutik: Iaitu, agenda penafsiran semula
teks-teks wahyu agar ianya sesuai dengan perkembangan semasa tanpa merai
penafsiran muktabar yang sudah diterima oleh para ulama’ Islam secara sepakat.
Ia juga ada kaitan dengan penafsiran Kontekstual yang membataskan teks wahyu
kepada sosio-historikalnya, iaitu suasana dan sejarah di mana teks tersebut
diturunkan.
·
Menolak Autoriti Institusi Ulama’: Iaitu, mereka
meletakkan diri mereka sebaris dengan para ulama’ termasuk para ulama’ salaf
untuk melayakkan diri mereka berbicara tentang kefahaman agama dan menafsirkan
semula teks-teks agama dalam rangka ingin menyesuaikan ajaran Islam dengan
perkembangan semasa, menurut sangkaan mereka.
·
Padahal, kita wajar menguasai prinsip-prinsip ajaran Islam
yang muktabar sepanjang zaman lalu barulah menilai perkembangan semasa sesuai
dengan neraca keislaman yang jelas. Dr. Ali Jum’ah menekankan tentang
penguasaan terhadap alat-alat penting yang diperlukan untuk memahami kaedah
berinteraksi dengan al-Mauruth al-Islami (karya warisan Islam) supaya
seseorang ilmuwan Islam tu menguasai al-Namuzaj al-Ma’rifi al-Islami ataupun
Dr. Syed Naqib al-Attas menyebutnya sebagai Islamic worldview dalam buku
beliau berjudul Prolegomena to the Metaphysics of Islam.
Maka,
bagaimana berinteraksi dengan al-Turath al-Islami itu sangat penting
bagi membentuk Islamic Worldview (pandangan alam Islami) dalam diri para
ilmuwan Islam, agar sejauhmana sekalipun mereka menguasai sains moden, mereka
akan menguasainya sebagai muslim yang mana Islamic Worldview akan
menjadi penapis intelek terhadap sebarang nilai anti-Islam dalam bidang
ilmu-ilmu moden Barat.
Dr.
Ali Jum’ah memberi definisi terhadap al-Turath al-Islami (Islamic
Legacy) sebagai: produk atau karya kemanusiaan (al-Muntaj al-Basyari)
yang diwarisi secara lisan mahupun secara tulisan, bagi umat Islam yang berusia
lebih seratus tahun. [Al-Thariq ila Al-Turath al-Islami, m/s: 19]
Para
ilmuwan Islam mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap al-Turath
al-Islami ini, terutamanya dalam perkembangan bidang ilmu pada masa kini.
Kita tidak boleh membiarkan al-Turath al-Islami dipinggirkan daripada
arus pembangunan bidang ilmu pengetahuan sehingga ianya dianggap sebagai kelas
kedua (second class) atau kurang penting berbanding ilmu sains moden.
Dalam pandang alam Islami tradisional, pembahagian ilmu kepada fard al-‘ain
dan fard al-kifayah adalah suatu asas yang perlu dipertahankan. Ia akan
meletakkan ilmu-ilmu asas agama seperti ilmu Aqidah Islam, Fiqh Islam dan
Tasawwuf Islam di tempatnya iaitu sebagai ilmu yang paling perlu dipelajari
sebagai seorang muslim, sebelum ilmu-ilmu lain.
Di
samping penguasaan terhadap asas-asas ajaran Islam, para ilmuwan Islam juga
sewajaranya mampu berinteraksi dengan perkembangan semasa secara Islamik, iaitu
memerhatikan sesuatu isu dan menilainya dengan neraca ajaran Islam yang jelas.
Maka, kita bertanggungjawab juga terhadap al-Turath al-Islami dalam rangka
untuk mempertahankan-nya dan memelihara kesinambungan perkembangannya, agar
ianya tidak terhenti pada zaman kita semata-mata, namun ianya terus dapat
diwarisi oleh para ilmuwan Islam pada masa akan datang.
Di
antara tanggungjawab yang perlu dilakukan sebaiknya terhadap al-Turath
al-Islami (karya Islamik) iaitu:
1)
Al-Nasyr wa al-Tahqiq (Penyebaran dan penelitian)
2)
Al-Taisir
(Pemudahan)
3)
Al-Khidmah
(Perkhidmatan)
4)
Al-Ihya’
(Penghidupan)
Justeru,
Maktabah al-Ihya’ cuba menghimpunkan kemahiran untuk melakukan
tanggungjawab ini di samping melatih dan memberi bimbingan kepada generasi
baharu untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran-kemahiran tertentu, bagi turut
terlibat menyertai usaha pemeliharaan dan perkembangan al-Turath al-Islami
ini.
Kita
telah mengambil manfaat daripada kesungguhan para ulama’ terdahulu yang
mewariskan karya-karya ilmiah yang agung sebagai rujukan umat Islam selepas
mereka dan memeliharanya, maka kita sewajarnya melakukan perkara yang sama
untuk generasi kemudian mendapat manfaat yang sewajarnya daripada karya-karya
warisan para ulama’ Islam dalam bidang ilmu pengetahuan. Inilah antara
tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sekadar kemampuan kita bersama.
No comments:
Post a Comment