Konsep Asas
Zaman
terus beredar sehingga membawa kepada perkembangan ilmu pengetahuan yang sangat
pesat dan ledakan maklumat yang sangat dahsyat. Budaya ilmu ditekankan di
segenap pelusuk dunia sehingga mencetuskan persaingan demi membangunkan
tamadun-tamadun kemanusiaan yang sempurna. Budaya ilmu yang berkembang pada
masa kini mencetuskan pembaharuan dalam sistem pembelajaran sehingga wujudnya
institusi-institusi pengajian tinggi moden seperti universiti-universiti dan
sebagainya.
Budaya
ilmu turut mempengaruhi aspirasi peringkat keluarga lagi kerana penguasaan ilmu
sering dikaitkan dengan masa depan yang cerah terutamanya dalam sektor
pekerjaan. Penghargaan terhadap bidang pengetahuan wujud dalam pelbagai bentuk
dan tujuan, dalam kalangan mereka yang memang mencintai ilmu pengetahuan
mahupun di sisi mereka yang mengejar keuntungan material.
Mungkin
tidak ramai mahasiswa yang melanjutkan pelajaran mereka ke IPT atas semangat
cinta keilmuan berbanding mereka yang memasuki menara gading dengan tujuan
untuk mendapatkan sijil yang baik sebagai sarana untuk mendapatkan pekerjaan
yang baik.
Bahkan,
universiti-universiti yang wujud juga turut mempunyai masalah yang tersendiri
terutamanya dari sudut meletakkan susunan sesuatu ilmu itu sendiri yang tidak
mengikut Maratib al-Ilm (peringkat-peringkat ilmu) acuan Islam. Di
samping pencemaran ideologi-ideologi yang songsang dalam pelbagai bidang ilmu
samada ilmu-ilmu sains tabi’e mahupun sains sosial, lalu mempengaruhi para
penuntut ilmu yang mempelajari ilmu-ilmu tersebut.
Dalam
masa yang sama, kita dapati juga, kekurangan sumber-sumber rujukan yang
muktabar dalam bidang ilmu-ilmu agama terutamanya melibatkan ilmu-ilmu yang
sering menjadi sasaran salah faham para ilmuwan seperti ilmu tasawwuf, ilmu
aqidah dan falsafah dan sebagainya. Begitu juga, kurangnya rujukan-rujukan
dalam bidang ilmu-ilmu agama yang masih tidak popular dalam masyarakat
intelektual di Malaysia seperti ilmu berkaitan sanad-sanad, kitab-kitab thabat
dan sebagainya.
Dalam
memerhatikan himpunan kepincangan dan kekurangan ini, cadangan untuk menubuhkan
sebuah Pusat Sumber dan Penyelidikan yang diberi nama Maktabah al-Ihya’
(IRRC). Maktabah al-Ihya’ dicadangkan penubuhannya untuk menyediakan
khidmat bantuan dalam penyelidikan ilmiah terutamanya dalam bidang-bidang
agama, khidmat penerangan dalam falsafah ilmu berteraskan acuan Islam, pusat
sumber yang menyediakan rujukan-rujukan yang sukar didapati dalam
perpustakaan-perpustakaan umum terutamanya dalam bidang ilmu-ilmu agama yang
tidak popular.
Maktabah
al-Ihya’ ditubuhkan sebagai sebuah pusat sumber
dan penyelidikan ilmu-ilmu agama dan ketamadunan yang mana, secara asasnya
merujuk kepada konsep Bait al-Hikmah atau Dar al-Hikmah yang
pernah diwujudkan dalam merancakkan perkembangan ilmu pengetahuan dalam tamadun
Islam pada zaman kegemilangan umat Islam suatu ketika dahulu. Kaum muslimin
mendapat kesan yang positif ketika ilmu pengetahuan berkembang dalam tamadun
Islam melalui kemunculan pusat-pusat keilmuan seperti Bait al-Hikmah.
Penubuhan
Bait al-Hikmah bukan sekadar berbentuk perpustakaan yang mengumpul
bahan-bahan bacaan semata-mata, tetapi juga merupakan sebuah makmal
penyelidikan ilmiah yang menyediakan ruang bagi para ilmuwan untuk melakukan
pelbagai usaha perkembangan ilmu pengetahuan. Penubuhan Bait al-Hikmah
dan seumpamanya bukan sekadar diusahakan oleh para khalifah dan pemimpin Islam,
tetapi turut diusahakan oleh individu-individu tertentu secara persendirian
atas semangat cinta kepada ilmu pengetahuan.
Antaranya adalah anak-anak Musa bin
Syakir iaitu, Muhammad, Ahmad dan al-Hasan. Mereka telah membelanjakan sejumlah
wang yang besar dalam mengembangkan dan memelihara ilmu-ilmu seperti Matematik, ilmu Sains dan ilmu Falak yang
pada ketika itu dianggap sebagai ilmu yang asing dalam dunia Islam. Mereka
pernah mengupah Ishaq bin Hunain (seorang penterjemah ilmu asing yang terkemuka
pada ketika itu) sebanyak 500 dinar sebulan untuk melakukan aktiviti
penterjemahan buku-buku. Muhammad bin Musa bin Syakir sendiri secara peribadi
telah membelanjakan lebih kurang 400 ribu dinar untuk aktiviti penterjemahan
itu.
Begitu juga seorang tokoh yang lain
iaitu Muhammad bin Abd al-Malik al-Zayyat yang membelanjakan sekurang-kurangnya
2000 dinar setiap bulan untuk aktiviti penterjemahan ini. Abu al-Qashim Ja’far
bin Muhammad bin Hamdan juga adalah seorang hartawan yang sangat meminati
bidang ilmu pengetahuan sehingga membuka Dar al-Ilm di Mushal,
yang berperanan seperti sebuah perpustakaan persendirian yang menyimpan
buku-buku ilmu mantik, ilmu falak dan ilmu falsafah.
IRRC atau Maktabah al-Ihya’ ditubuhkan
dalam rangka untuk meneruskan usaha dan semangat keilmuan yang pernah tersemat
dalam penubuhan Bait al-Hikmah tersebut. Pada zaman ini, justeru umat
Islam sewajarnya lebih berupaya untuk meningkatkan kualiti dalam bidang ilmu,
samada samada dari sudut pemeliharaan sumber ilmu mahupun dari sudut
perkembangannya.
Untuk
meningkatkan lagi perkhidmatan yang sedia ada dan menambahkan lagi
rujukan-rujukan yang ada pada pusat sumber Maktabah al-Ihya’, selain
daripada bergantung kepada bantuan pihak-pihak yang terlibat, Maktabah al-Ihya’
juga melakukan beberapa aktiviti-aktiviti perniagaan dan kegiatan ekonomi
secara sampingan. Ini kerana, Maktabah al-Ihya’ akan melibatkan tenaga
kerja, fasiliti dan kemudahan-kemudahan lain memerlukan kepada perbelanjaan
untuk kelangsungannya.
Semoga
cadangan penubuhan Maktabah al-Ihya’ atau IRRC ini dapat mengisi
kekosongan dan kekurangan dalam perkembangan budaya ilmu (khususnya ilmu-ilmu
agama) di Malaysia, terutamanya dalam masyarakat ilmuwan dan para penuntut
ilmu.
No comments:
Post a Comment