Showing posts with label Sejarah dan Ketamadunan. Show all posts
Showing posts with label Sejarah dan Ketamadunan. Show all posts

Thursday, 21 February 2013

Peguasaan terhadap al-Turath al-Islami




Peguasaan terhadap al-Turath al-Islami

Dalam menghadapi cabaran bidang ilmu semasa, suatu perkara yang sangat penting adalah tentang pemeliharaan dan penguasaan terhadap al-Turath al-Islami. Kita sering melihat fenomena di mana ramai para ilmuwan yang mendapat pengajian daripada institusi pengajian Barat sering membawa pemikiran-pemikiran yang rosak dan bersifat melawan kefahaman muktabar ajaran Islam yang asas.

Ini kerana, mereka menguasai bidang pengetahuan terutamanya sainsn moden tanpa memahami ajaran Islam dengan baik. Lalu, nilai-nilai sekular dalam kebanyakan ilmu-ilmu moden yang disemai oleh para ilmuwan dan falsafah Barat mula memberi kesan kepada pemikiran mereka. Bertolak daripada inilah, atas nama ilmu pengetahuan, golongan ini menyebarkan pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan prinsip murni ajaran Islam yang muktabar.

Antara bentuk kepincangan pemikiran yang cuba diketengahkan oleh golongan ilmuwan sekular ini adalah:

·       Sekularisme: Iaitu, pemisahan antara peranan keagamaan daripada perkara-perkara keduniaan.

·       Liberalisme: Iaitu, menjadikan akal sebagai suatu ukuran yang bebas dalam menilai sesuatu tanpa campur tangan penilaian keagamaan.

·       Penafsiran Hermeneutik: Iaitu, agenda penafsiran semula teks-teks wahyu agar ianya sesuai dengan perkembangan semasa tanpa merai penafsiran muktabar yang sudah diterima oleh para ulama’ Islam secara sepakat. Ia juga ada kaitan dengan penafsiran Kontekstual yang membataskan teks wahyu kepada sosio-historikalnya, iaitu suasana dan sejarah di mana teks tersebut diturunkan.

·       Menolak Autoriti Institusi Ulama’: Iaitu, mereka meletakkan diri mereka sebaris dengan para ulama’ termasuk para ulama’ salaf untuk melayakkan diri mereka berbicara tentang kefahaman agama dan menafsirkan semula teks-teks agama dalam rangka ingin menyesuaikan ajaran Islam dengan perkembangan semasa, menurut sangkaan mereka.

·       Padahal, kita wajar menguasai prinsip-prinsip ajaran Islam yang muktabar sepanjang zaman lalu barulah menilai perkembangan semasa sesuai dengan neraca keislaman yang jelas. Dr. Ali Jum’ah menekankan tentang penguasaan terhadap alat-alat penting yang diperlukan untuk memahami kaedah berinteraksi dengan al-Mauruth al-Islami (karya warisan Islam) supaya seseorang ilmuwan Islam tu menguasai al-Namuzaj al-Ma’rifi al-Islami ataupun Dr. Syed Naqib al-Attas menyebutnya sebagai Islamic worldview dalam buku beliau berjudul Prolegomena to the Metaphysics of Islam.

Maka, bagaimana berinteraksi dengan al-Turath al-Islami itu sangat penting bagi membentuk Islamic Worldview (pandangan alam Islami) dalam diri para ilmuwan Islam, agar sejauhmana sekalipun mereka menguasai sains moden, mereka akan menguasainya sebagai muslim yang mana Islamic Worldview akan menjadi penapis intelek terhadap sebarang nilai anti-Islam dalam bidang ilmu-ilmu moden Barat.

Dr. Ali Jum’ah memberi definisi terhadap al-Turath al-Islami (Islamic Legacy) sebagai: produk atau karya kemanusiaan (al-Muntaj al-Basyari) yang diwarisi secara lisan mahupun secara tulisan, bagi umat Islam yang berusia lebih seratus tahun. [Al-Thariq ila Al-Turath al-Islami, m/s: 19]

Para ilmuwan Islam mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap al-Turath al-Islami ini, terutamanya dalam perkembangan bidang ilmu pada masa kini. Kita tidak boleh membiarkan al-Turath al-Islami dipinggirkan daripada arus pembangunan bidang ilmu pengetahuan sehingga ianya dianggap sebagai kelas kedua (second class) atau kurang penting berbanding ilmu sains moden. Dalam pandang alam Islami tradisional, pembahagian ilmu kepada fard al-‘ain dan fard al-kifayah adalah suatu asas yang perlu dipertahankan. Ia akan meletakkan ilmu-ilmu asas agama seperti ilmu Aqidah Islam, Fiqh Islam dan Tasawwuf Islam di tempatnya iaitu sebagai ilmu yang paling perlu dipelajari sebagai seorang muslim, sebelum ilmu-ilmu lain.

Di samping penguasaan terhadap asas-asas ajaran Islam, para ilmuwan Islam juga sewajaranya mampu berinteraksi dengan perkembangan semasa secara Islamik, iaitu memerhatikan sesuatu isu dan menilainya dengan neraca ajaran Islam yang jelas. Maka, kita bertanggungjawab juga terhadap al-Turath al-Islami dalam rangka untuk mempertahankan-nya dan memelihara kesinambungan perkembangannya, agar ianya tidak terhenti pada zaman kita semata-mata, namun ianya terus dapat diwarisi oleh para ilmuwan Islam pada masa akan datang.

Di antara tanggungjawab yang perlu dilakukan sebaiknya terhadap al-Turath al-Islami (karya Islamik) iaitu:

1)     Al-Nasyr wa al-Tahqiq (Penyebaran dan penelitian)

2)     Al-Taisir (Pemudahan)

3)     Al-Khidmah (Perkhidmatan)

4)     Al-Ihya’ (Penghidupan)

Justeru, Maktabah al-Ihya’ cuba menghimpunkan kemahiran untuk melakukan tanggungjawab ini di samping melatih dan memberi bimbingan kepada generasi baharu untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran-kemahiran tertentu, bagi turut terlibat menyertai usaha pemeliharaan dan perkembangan al-Turath al-Islami ini.

Kita telah mengambil manfaat daripada kesungguhan para ulama’ terdahulu yang mewariskan karya-karya ilmiah yang agung sebagai rujukan umat Islam selepas mereka dan memeliharanya, maka kita sewajarnya melakukan perkara yang sama untuk generasi kemudian mendapat manfaat yang sewajarnya daripada karya-karya warisan para ulama’ Islam dalam bidang ilmu pengetahuan. Inilah antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sekadar kemampuan kita bersama.

Konsep Bait al-Hikmah




Konsep Bait al-Hikmah

Sebagaimana telah disebutkan, penubuhan Maktabah al-Ihya’ mengambil contoh daripada penubuhan Bait al-Hikmah yang pernah dibina pada zaman Khilafah Abbasiyyah yang menjadi pencetus kepada perkembangan ilmu pengetahuan dalam tamadun Islam.

Pada zaman pemerintahan Abbasiyyah, tercetusnya perkembangan ilmu pengetahuan dalam tamadun Islam dalam segenap bidangnya. Sejak tahun 132 Hijrah, di mana pemerintahan Islam berpindah tangan kepada Bani Abbasiy dan tampok pemerintahan Islam beralih ke Baghdad, tamadun Islam dipandu ke arah pembangunan dari sudut ilmu pengetahuan secara pesat.

Perkembangan bidang ilmu pengetahuan dalam dunia Islam pada ketika itu bermula dengan semangat dan ketekunan Khalifah Abu Ja’far al-Mansur (m: 158 H) dalam mengumpul manuskrip dan sumber rujukan dalam pelbagai bidang ilmu asing seperti ilmu perubatan, ilmu sejarah dan sebagainya. Ilmu-ilmu tersebut dianggap sebagai ilmu yang asing bagi dunia Islam pada ketika itu kerana dalam dunia Islam, budaya ilmu yang berkembang dalam masyarakat ilmuwan pada ketika itu lebih menjurus kepada ilmu-ilmu keagamaan bersumberkan wahyu dan ilmu-ilmu yang berkhidmat kepada teks-teks wahyu. Sumber-sumber dan bahan bacaan berkenaan ilmu-ilmu asing seperti perubatan, sejarah, falsafah dan sebagainya dikumpul di sebuah perpustakaan rasmi di kediaman khalifah dan sebahagian daripadanya diterjemah ke dalam bahasa Arab.

Perkembangan ilmu di kota Baghdad menjadikan ianya sebuah pusat kebangkitan ketamadunan (nahdah hadhariyyah) termasuklah dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Perkembangan ilmu diteruskan oleh Khalifah Harun al-Rasyid (170-193 H) dengan menjadikan bahan bacaan yang tersimpan secara dalam kediaman khalifah sebagai bahan bacaan umum untuk para penuntut ilmu dan para ilmuwan. Bahkan, beliau menyemarakkan lagi usaha penambahan bahan-bahan bacaan dan sumber-sumber ilmu di samping menterjemahkannya ke dalam bahasa Arab. Lalu, Khalifah Harun al-Rasyid menjadikannya sebagai sebuah tempat kajian dan sumber ilmu dan dinamakan sebagai Bait al-Hikmah.

Pada awalnya, ianya sekadar tempat sumber rujukan dan simpanan bahan bacaan, namun pada zaman al-Ma’mun, ianya menjadi tempat akademi ilmu yang agung di mana bukan sahaja mempunyai simpanan rujukan-rujukan ilmah, diwujudkan juga majlis-majlis pengajian dan penulisan ilmiah.

Menurut Dr. Khidir Ahmad ‘Atho’illah dalam bukunya Bait al-Hikmah fi ‘Asr al-‘Abbasiyyin:

“…sehinggakan, Bait al-Hikmah adalah perpustakaan awam yang terawal yang agung dalam dunia Islam. Bahkan, ianya adalah sebuah universiti Islam yang pertama  yang mana para ulama’ dan pengkaji berhimpun padanya dan para penuntut ilmu turut mengunjunginya.” [m/s: 30]

Bait al-Hikmah menjadi pusat penyimpanan sumber ilmu daripada India, Rom dan Parsi lalu sebahagian ahli ilmu menterjemahkannya ke dalam bahasa Arab dengan bantuan ilmuwan-ilmuwan asing seperti ilmuwan Kristian dan sebagainya. Antara yang membantu bidang penterjemahan buku-buku asing ke dalam bahasa Arab adalah seperti:

Gorgis bin Baghtisyu’ yang menterjemahkan buku-buku perubatan daripada bahasa Yunani ke dalam bahasa Arab.

Yohana bin Masawaiyh al-Suryani yang mentejemahkan buku-buku perubatan daripada dunia Rom ke dalam bahasa Arab

Al-Fadhl bin Nubikht dan Ibn al-Muqoffa’ yang menterjemahkan buku-buku ilmu falak daripada bahasa Parsi ke dalam bahasa Arab.

Hunain bin Ishaq yang menterjemahkan buku-buku perubatan daripada bahasa Yunani, Parsi dan Suryani ke dalam bahasa Arab.

Al-Kharawizmi yang menerbitkan buku-buku dalam bidang ilmu falak, astronomi dan matematik dan dilantik sebagai ketua di Bait al-Hikmah pada zaman al-Ma’mun.

Kita boleh ringkaskan fungsi Bait al-Hikmah pada zaman Abbasiyyah ini kepada tiga fungsi utama iaitu:

o   Pusat Sumber dan Perpustakaan

o   Pusat Penterjemahan

o   Pusat Kajian dan Pengajian (seperti Universiti)

Seiringan dengan itu juga, tertubuhnya sebuah perpustakaan awam peribadi yang lain di Baghdad, di samping kewujudan Bait al-Hikmah. Ia ditubuhkan oleh seorang individu yang cintakan ilmu iaitu Ali bin Yahya al-Munjam lalu diberi nama sebagai Khizanah al-Hikmah. Begitu juga dengan Maktabah Ishaq bin Sulaiman al-‘Abbasi yang dibangunkan oleh Ishaq bin Sulaiman dan perpustakaan yang lebih besar daripada itu iaitu Maktabah Yahya bin Khalid al-Barmaqi yang mana dikatakan, tiada kitab dalam perpustakaan-perpustakaan, melainkan ada sebuah naskhah di dalam Maktabah Yahya bin Khalid tersebut. Begitu juga Maktabah al-Waqidi, milik al-Waqidi, seorang sejarahwan yang terkenal.

Begitu juga setelah itu muncul perpustakaan besar milik pembesar dan ilmuwan Mesir iaitu al-Mubassyir bin Fatik (m: 480 H) yang menyimpan kitab-kitab dalam ilmu Matematik, Falsafah dan sebagainya. Begitu juga Maktabah yang ditubuhkan oleh Khalifah al-Nashir li Dinillah yang besar sepertimana Khalifah al-Mu’tashim billah juga menyiapkan Maktabah yang besar di kediamannya yang mengandungi pelbagai bidang ilmu.